Ibu tidak punya harta yang banyak untuk kalian warisi. namun doa ibu sentiasa bersama kalian... Along punya kelebihan tersendiri..Angah juga punya kelebihan tersendiri.. dengan kelebihan yg ada, kalian gunakanlah untuk berjaya bukan sahaja di dunia tetapi akhirat juga. Bila ibu baca mengenai berita pergaduhan adik-beradik saudara-mara mengenai harta, ibu jadi bimbang... namun ibu kikiskan pemikiran yang negatif...ibu doakan hubungan erat kalian kekal abadi hingga ke akhirat seperti kasih-sayang ibu dan abah pada kalian yang tiada batasnya... ibu tak tahu bila ajal akan menjemput ibu..namun kalian senstiasa dalam doa ibu.. Jadilah anak-anak yang solehah, bijak pandai dan sihat walafiat serta dapat berbakti pada agama kita... jadikanlah Islam sebagai panduan hidup kita.. kat sini juga ibu titipkan 25 Pesanan Luqman Hakim Kepada Anak-Anaknya sebagai panduan hidup kalian :
Pesanan #1: “Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya
dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di
dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan
itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya
adalah Tawakkal kepada ALLAH.”
Pesanan #2:
“Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat,
maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan
sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima
kemulian dari ALLAH juga.”
Pesanan #3:
“Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam
beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan
lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat
kepada ALLAH.”
Pesanan #4:
“Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang
dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam
tanaman.”
Pesanan #5:
“Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh
menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”
Pesanan #6:
“Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan
untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan
sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat
berputus asa dari rahmat ALLAH.”
Pesanan #7:
“Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana
tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan
sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada
memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”
Pesanan #8:
“Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu
besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada
semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.”
Pesanan #9:
“Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai
utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja
yang layak menjadi utusan.”
Pesanan #10:
“Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan
memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah
memberikan akibat yang berbahaya.”
Pesanan #11:
“Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau
hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab
ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri
pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi
sahaja.”
Pesanan #12:
“Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila
makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
Pesanan #13:
“Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya
barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu
barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu
belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”
Pesanan #14:
“Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan
bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta
nasihat dari mereka.”
Pesanan #15:
“Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu
mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak
ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak
mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
Pesanan #16:
“Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah
terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam
kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau
mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka
berhati-hatilah.”
Pesanan #17:
“Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu,
dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang
terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
Pesanan #18:
“Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai
orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia
yang mengharapkan sesuatu darimu.”
Pesanan #19:
“Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak
ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu
adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
Pesanan #20:
“Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu
selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH
bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina
daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
Pesanan #21:
“Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata
yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila
berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan
manfaat bagi orang lain.”
Pesanan #22:
“Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu
yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti,
janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah
mensia-siakan hartamu.”
Pesanan #23:
“Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam
akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang
tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
Pesanan #24:
“Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
Pesanan #25:
“Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau
tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau
akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka,
kelak akan membinasakan dirimu.”
LOVE...LOVE...LOVE
No comments:
Post a Comment